Matlamat utama projek ini adalah untuk mengukuhkan lagi pengawasan hutan di Semenanjung Malaysia dengan memperkasakan komuniti akar umbi yang tinggal berhampiran kawasan hutan sensitif seperti komuniti orang Asli, Nelayan di Hutan Paya Laut, petani dan golongan warga desa untuk secara langsung melindungi, memantau dan mendapat akses secara langsung kepada sumber-sumber hutan melalui beberapa siri latihan termasuk latihan pemerkasaan sosioekonomi (produk hutan secara lestari atau bukan berasaskan balak), latihan konservasi spesis tempatan, latihan pemantauan hutan dan latihan pemetaan komuniti.
Pada akhir projek ini, diharapkan perubahan dan penambahbaikan signifikan dapat dilihat terhadap pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan hutan tropika kita serta wujudnya aktiviti ekonomi secara lestari yang mampu menggantikan sistem pembangunan tidak mampan di dalam kawasan hutan sensitif yang memudaratkan alam sekitar seperti pembalakan, perladangan, industri dan projek komersial yang lain.
Sebagai tambahan, projek ini mampu mengikat hubungan antara komuniti dengan hutan mereka dengan lebih erat, di mana ia akan menarik rasa kebertanggungjawaban mereka untuk memelihara, memulihara dan melindungi alam sekitar kita secara langsung. Ia juga akan mewujudkan konsultansi awam yang cekap, pemantauan penguatkuasaan yang ketat, urus tadbir hutan yang cekap dan mengukuhkan demokrasi alam sekitar.
Antara pengisian utama dalam projek ini termasuklah:
Program Pemerkasaan Sosio-ekonomi Komuniti Hutan (Produk Hutan Secara Lestari/Bukan Balak)
Modul program ini bermatlamat untuk melatih komuniti akar umbi yang terpilih untuk memanfaatkan, mendapatkan dan menggunakan sumber asli di sekitar mereka secara lestari termasuk mewujudkan aktiviti eko-pelancongan lestari, pelancongan budaya dan edu-pelancongan; penghasilan produk makanan daripada hutan paya laut, penghasilan produk herba dan kraftangan; yang mana latihan ini bakal menambahbaik keadaan sosio-ekonomi mereka lalu membuatkan mereka lebih cakna dan bertanggungjawab dalam melindungi sumber asli sekitar seperti nyawa mereka senditi daripada ancaman kemusnahan.
Bagi bengkel laithan eko-pelancongan lestari/edu-pelancongan/pelancongan budaya, pengisiannya termasuklah latihan merangka pakej kembara, kursus ‘Green badge’ untuk ahli komuniti, pembelajaran pendidikan-hutan dan juru interpretasi, penubuhan eko-enterprise, penetapan harga, kawalan kapasiti pelancong dan garis panduan menjalankan aktiviti eko-pelancongan secara lestari.
Latihan penghasilan produk makanan Hutan Paya Laut merangkumi latihan menghasilkan produk-produk IKS seperti jus, biskut, snek, jem, air nira dan makanan daripada pokok berembang, jeruju, bakau berus, api-api dan tumbuhan Hutan Paya Laut yang lain. Modul termasuk latihan penuaian bahan mentah, pemprosesan makanan, pembungkusan, penubuhan eko-enterprise, pensijilan dan pemasaran produk.
Latihan penghasilan produk herba daripada hutan pula termasuk modul tentang mewujudkan tapak herbarium, penuaian pokok-pokok herba daripada hutan menggunakan praktik lestari, pemprosesan, pembungkusan,penubuhan eko-enterprise, pensijilan dan pemasaran produk begitu juga dengan latihan penghasilan produk kraftangan dan kesenian.
Program Latihan Konservasi spesis-spesis pokok tempatan
Modul di dalam program ini bertujuan untuk meltih komuniti untuk menubuhkan tapak semaian pokok-pokok hutan mereka sendiri untuk tujuan penjanaan ekonomi komuniti dan penghutanan semula. Secara asasnya, komuniti seharusnya dilatih tentang kesedaran dan cara praktikal untuk memelihara dan memulihara alam sekitar di sekeliling mereka khususnya spesis-spesis endemik yang terdapat di hutan sekeliling mereka. Dengan cara melatih mereka bagaimana untuk mengenali pokok, mengutip benih/anak pokok liar, menyemai semula anak pokok endemik adalah cara yang terbaik bagi mengekalkan kepelbagaian genetik spesis hutan.
Di tambah pula, program ini mampu memberikan nilai sosioekonomi di mana anak-anak pokok yang telah ditanam boleh dibeli oleh pelbagai agensi termasuk kontraktor jabatan perhutanan, NGO, agensi swasta dan pihak yang terlibat dalam usaha konservasi/penghutanan semula. Akhirnya, ia mampu menarik dengan lebih utuh penglibatan komuniti dalam memelihara, memulihara dan melindungi hutan secara langsung.
Bengkel Latihan Pemantauan Hutan
Bengkel ini bertujuan untuk melatih komuniti tentang bagaimana secara praktikalnya mereka mampu dididik untuk mengambil langkah yang sepatutnya di bawah peruntukan undang-undang dan saluran yang sedia ada dalam memantau hutan, melindungi alam sekeliling, dan mempertahankan sumber asli mereka. Modul termasuklah bengkel pengenalan terhadap kategori hutan, pemerhatian dan pemantauan hutan (forest watch), mengenalpasti jenis aktiviti kemusnahan, cara melapor dan mendokumentasi kes, tinjauan lapangan, kerja lapangan, pengenalan tentang hak komuniti dan alam sekitar di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan, UNDRIP, UNDR, cara menyampaikan maklumat di dalam sesi bantahan awam (RTD & EIA) serta teknik berurusan dengan pelbagai agensi dan tidak ketinggalan mobilisasi komuniti.
Program Pemetaan Komuniti (PETA)
Program ini bertujuan untuk melatih komuniti khususnya masyarakat orang Asli di Semenanjung Malaysia dalam menjalankan pemetaan & dokumentasi di kampung dan wilayah rayau mereka dengan menggunakan peralatan GPS & penghasilan peta menggunakan GIS sebagai penyediaan dokumen hitam-putih dalam mendapatkan jaminan tanah adat dan wilayah bagi melindungi tanah & hutan sekeliling mereka daripada pencerobohan dan kemusnahan.
Modul termasuklah pengenalan kepada peta topografi, penggunaan kompas dan GPS, pembacaan peta, mengenalpasti sempadan, navigasi GPS dan pemetaan luar, analisa pemetaan GIS, penghasilan peta akhir dan penyediaan dokumen serta memorandum.