Oleh: Naziatul Azrin
Di tanah air ini, hutan hujan bukanlah perkara yang asing. Sejak kecil kita maklum tentang gambaran hutan – warna hijau – pokok-pokok rapat dan daun-daun yang lebat – herba dan tidak terkecuali terdapatnya pelbagai spesis haiwan. Namun persoalan di sini, apakah kita benar-benar mengenali dan memahami fungsi hutan? Setakat mana kemampuan kita menurunkan pengetahuan mengenai hutan kepada anak-anak? Paling penting, apakah kita hari ini mampu meninggalkan hutan untuk melayani kehidupan generasi di masa depan?
Ada apa dengan hutan sehingga ia menjadi begitu penting untuk diselamatkan?
- Kawasan Tadahan Hujan
Malaysia yang beriklim tropika menerima purata taburan hujan yang agak tinggi berbanding kawasan lain. Sesuai dengan keadaan ini, hutan tebal tersedia di bumi menyambut hujan.
Sebelum meresap ke tanah, hujan ditadah secara berperingkat oleh daun-daun; yang lebat di dahan pokok dan juga yang kering tebal di lantai hutan. Proses ini penting dan bertindak memperlahankan kelajuan air hujan, sama seperti bonggol di tengah jalan yang berfungsi memperlahankan kelajuan kenderaan.
Tanpa halangan-halangan semula jadi ini, hujan akan terus menimpa bumi. Dalam keadaan air di bumi masih banyak, berpunca daripada sistem saliran yang tidak efisien, bangunan yang semakin banyak dibina hari demi hari ditambah dengan pertembungan musim air pasang di laut, air yang tidak lagi melalui halangan hutan hujan (akibat kemusnahan) akan memenuhi daratan– lalu berlakulah banjir.
- Penapis Semula Jadi
Selain mengawal kederasan air, hutan hujan juga berfungsi sebagai penapis semula jadi. Sungai yang aliran airnya melalui daun-daun, rumput, akar kayu, dan batu-batu terbukti lebih sejuk, bersih dan menyegarkan. Jika kita lihat kawasan hutan yang telah musnah, air sungainya keruh. Keadaan itu jelas sekali disebabkan air tidak melalui proses tapisan semula jadi seperti yang telah dinyatakan tadi. Tidak ada hidupan boleh mendapat manfaat daripada sungai yang telah tercemar.
- Sumber Asli Untuk Ekonomi
Selain itu, di hutan hujan juga terdapat banyak sumber asli untuk pertumbuhan ekonomi orang tempatan dan juga negara. Tidak dinafikan, pokok-pokok balak adalah salah satu sumber asli yang banyak membantu meningkatkan ekonomi. Menebang balak untuk tujuan ini tidak salah, tetapi tanpa pelan yang cermat dan penebangan yang tidak menghiraukan etika menjadi punca kepada pemusnahan hutan hujan dan krisis alam sekitar amnya.
- Habitat Haiwan dan Tempat Tinggal Manusia
Hujan hujan menjadi habitat kepada pelbagai jenis haiwan. Sekiranya hutan hujan dimusnahkan, haiwan-haiwan terpaksa berkeliaran merata, dan akhirnya tersesat di kawasan penempatan manusia serta menjadi ancaman pula.
Selain haiwan, manusia juga menjadikan hutan hujan sebagai tempat tinggal. Contohnya, di negara ini, ada pelbagai suku kaum Orang Asli dan Orang Asal yang tinggal dan memperoleh sumber rezeki dari hutan. Pemusnahan hutan secara besar-besaran telah memberi kesan kepada kehidupan kaum-kaum ini.
Sumber air bersih telah tercemar, dihalang daripada memasuki kawasan-kawasan tertentu, kawasan perkuburan rosak dan tanaman juga diancam haiwan-haiwan liar. Lanjutan daripada ini, kaum-kaum ini terusir dari kampung masing-masing, terpaksa meninggalkan kediaman sejak zaman-berzaman, melupakan budaya dan cara hidup harmoni dan selari dengan hukum alam semata-mata memberi laluan kepada pembangunan.
- Bekalan Oksigen
Seterusnya yang paling penting sekali, hutan membekalkan oksigen kepada manusia. Maka hutan perlu dikekalkan untuk tujuan ini. Kajian juga mendapati bahawa semakin dekat manusia dengan hutan, semakin lancar pernafasan, semakin tenang dan stabil emosi serta semakin sihat tubuh badan.
Laman sesawang healingforest.org telah menerbitkan filem berdurasi 4 minit 35 saat bertajuk How Forests Heal People dan menerangkan bagaimana hutan adalah terapi terbaik untuk kesihatan kerana sifatnya hampir kepada ciri dan unsur penciptaan manusia itu sendiri.
Hutan Untuk Generasi Masa Hadapan
Seperti manusia, hutan adalah organ kepada planet ini. Kehilangan atau kegagalan organ untuk berfungsi menyebabkan gangguan fitrah alam dan kita juga akan menerima kesan langsung daripada ini.
Harus ada kesedaran pada setiap diri daripada pelbagai peringkat umur untuk berhemah dalam menggunakan tenaga dan mengitar semula bahan-bahan terpakai supaya sumber asli tidak dibazirkan. Kempen penanaman semula hutan juga perlu diteruskan kerajaan dengan menggalakkan syarikat-syarikat korporat menyumbang dana untuk mengimbangi pembangunan.
Hutan, termasuk apa sahaja yang terkandung di dalamnya yang kita ada kini bukanlah hak mutlak tetapi adalah pinjaman – untuk diwariskan sebaiknya buat kehidupan generasi akan datang.
Maka jika ditanya, ada apa dengan hutan? Jawabnya, ada kehidupan. Menyelamatkan hutan beerti menyelamatkan kehidupan – menghargai kemanusiaan dan menjadi alat buat mengenal Tuhan.
Artikel ditulis oleh: Naziatul Azrin (Aktivis Persatuan Aktivis Sahabat Alam)